Bagaimana kita hendak me”maintain”kan jiwa dengan ruh himmah dan semangat yang membara?. Kita ini manusia dan insan yang lemah. Apa yang seharusnya kita buat?.”
Memang benar. Begitu sukar untuk memelihara dan menjaga semangat serta syuur dalam perasaan dan jiwa kita. Ada kalanya, jiwa yang dahulunya pernah ditiup angin aroma kekuatan yang menghidupkan dan membangkitkan kian pudar dimamah usia yang berlalu.
Seolah-olah, segala-galanya hilang begitu sahaja.
Lembik. Tidak bermaya. Kaku dan hilang seri dalam kehidupan.
Semuanya hambar sahaja.
Suatu saat, kita begitu aktif dengan kerja-kerja yang meningkatkan keimanan serta menghampirkan kita kepada Allah SWT. Ada ada ketikanya, jiwa kita benar-benar jauh daripada Allah SWT lantaran kelalaian, kealpaan dan kecuaian kita dalam beramal.
Begitulah hakikat kehidupan. Ada saatnya kita kuat dan ada saatnya kita lemah. Apabila melihat realiti dan hakikat ini, saya benar-benar terasa akan satu hakikat.
Betapa kerdilnya kita.
Pernahkah kita dilanda musibah dan ujian kehidupan yang menyebabkan kita terduduk, dan sedih yang teramat sangat. Ketika itu ingatlah :
“ Jika diuji oleh Allah SWT, pandanglah dan hadapkan diri melihat sirah baginda Rasulullah SAW. Baginda adalah insan yang diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian, mehnah dan dugaan hidup. Ambillah, contoh baginda dalam mengharungi semua ini.”
Mengimbau sirah-sirah baginda – Rasullullah SAW yang pernah dipulaukan oleh kaum musyrikin, dihina oleh kaumnya sendiri , dicerca dengan cercaan yang mencengkam jiwa, dituduh gila secara serangan fizikal serta mental, menerima tentangan demi tentangan yang hebat impaknya dan pelbagai bentuk penyeksaan kejiwaan.
Ada Rasulullah SAW merasa kecewa dan mengalah?
Meninggalkan seruan dakwah dan terus berputus asa?
Mengeluh, merungut dan membebel seperti kita?
Tidak.
Tidak.
Malah, tidak.
Jika secara tiba-tiba kita merasakan semangat perjuangan makin hilang, maka ingatlah bahawa dalam perjuangan banyak onak duri dan rintangan yang harus kita tempuhi dan perjuangan yang kita tempuhi kini tidak sehebat dugaan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi oleh Rasulullah SAW pada zaman dahulu dalam menyebarkan syiar Islam.
Insyallah, dengan mengingati Allah SWT hati kita pasti akan merasa tenang.....
No comments:
Post a Comment